AQIQAH

Hukum aqiqah adalah sunat muakkadah bagi yang berkemampuan. Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.

Riwayat al-Bukhari (2839)

Mengenai bilangan kambing yang perlu diaqiqahkan, bagi bayi lelaki, maka disunatkan dengan menyembelih 2 ekor kambing manakala bagi bayi perempuan pula adalah dengan menyembelih 1 ekor kambing. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang menyebutkan:

مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing”.

Riwayat Abu Daud (2842)